Tuesday 26 September 2017

Ingin mengembara ke Switzerland?


Selamat datang ke Switzerland!
Tidak ada yang mampu saya ungkapkan selain Subhanallah dan wow! apabila kali pertama menjejakkan kaki ke bumi Switzerland. Bila mata terpandang keindahan alam sambil nafas menarik dan menghembus udara nyaman, tak mampu hendak diungkap dengan baris-baris perkataan.

Saya hanya mampu berkongsi untuk membantu rakan-rakan dengan memberi maklumat mengenai bumi Switzerland. Jauh sekali coretan saya yang hanya beberapa ribu perkataan ini dapat menandingi pengalaman anda sendiri di sana. Saya hanya dapat membantu dari segi ini. Saya hendak anda sendiri ke sana.

Saya banyak menerima pertanyaan dari rakan-rakan mengenai Switzerland. Terutamanya rakan-rakan di Malaysia. Antara soalan yang popular:

(1) Apakah tempat menarik yang harus saya lawati di Switzerland?
(2) Bagaimana penginapan? hotel mahal atau tidak?
(3) Bagaimana cara mudah hendak ke Switzerland--melalui London? Paris? Amsterdam?
(4) Bagaimana hendak bergerak dari satu tempat ke satu tempat di Switzerland--pengangkutan awam bas, kereta api? sewa kereta?

Itu antara beberapa pertanyaan yang bagi saya amat penting untuk dijawab di dalam merancang perjalanan ke Switzerland. Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada beberapa faktor:

- Bagi soalan no (1) misalnya, ia bergantung pada apa yang anda minat ketika melancong. Minat tempat cantik? jika jawapannya "ya" pun ia bergantung juga. Cantik yang macamana? "scenery"? tempat bersejarah? Sebab ada beberapa rakan yang berkata "Saya sudah jemu dengan bangunan bersejarah atau arkitektur Eropah--sebab semua bangunan di Eropah rupanya sama sahaja", "Tidak ada apa di situ, jauh untuk shopping ".

- Untuk soalan no (2) misalnya, ia bergantung sama ada anda bersama keluarga, atau berseorangan @backpacker. Ia juga bergantung apa yang anda suka--"shopping", "sightseeing", bersantai dan sebagainya. Jika suka shopping, semestinya yang berdekatan dengan bandar bukan?.

Bagi saya, matlamat saya mengembara atau melancong adalah untuk menikmati tempat yang dilawati. Shopping adalah agenda kedua. Oleh itu saya tidak kisah sangat, sama ada di situ ada shopping mall atau tidak. Kalau ada kedai-kedai kecil cenderahati atau kedai groseri pun sudah memadai. Itu saya. Anda mungkin lain.

Saya ingin berkongsi beberapa tips yang berguna. Tips ini tidaklah lengkap, tapi harap dapat membantu serba sedikit untuk merancang perjalanan ke Switzerland dan apabila tiba, apa yang perlu anda tahu tentang Switzerland.

Nota: Tip ini bagi mereka yang ingin mengembara secara sendiri, tidak menggunakan "travel agent". Kalau guna travel agent, senang cerita. Sediakan duit ajer :P

(1) Berapa kadar tukaran, mahal tak?
Kadar tukaran asing adalah kos ketika melancong. Switzerland adalah negara yang mempunyai kos taraf hidup antara yang tertinggi di dunia. Menurut kaji selidik UBS Bank, Zurich adalah bandar yang ke-2 dan Geneva adalah bandar yang ke-3 termahal di dunia pada tahun 2015.  

Swiss Franc antara matawang yang terkukuh di dunia

Kadar tukaran terkini adalah Swiss Franc (CHF) 1 = RM4.36. Untuk sebiji kebab RM5 di Malaysia, ia berharga CHF10 (RM43.60!). Mee goreng dan segelas minuman jika makan di restoran mungkin dalam lingkungan RM80.00. Kepada perokok tegar, "good luck" kerana rokok akan berharga RM60 sekotak. Contoh-contoh ini hanya untuk menerangkan kos sara hidup di Switzerland kerana kepada pelancong, maklumat ini agak penting. Untuk ke Switzerland kena bawa duit lebih. Untuk selesa CHF100 seorang untuk sehari untuk perbelanjaan makan dan pengangkutan dalam bandar. Untuk jimat boleh bawa bekalan pre-pack yang secukupnya. Itu biasa. *senyum*. 

(2) Bahasa?
Switzerland adalah negara tanpa lautan (land-locked) yang bersempadan dengan German, Perancis, dan Itali. Switzerland mempunya tiga bahasa rasmi iaitu German, Itali dan Perancis.  Beberapa bandar kecil bertutur bahasa Romansh dan beberapa bahasa etnik tetapi tidak meluas. Bagi bandar-bandar yang bersempadan dengan negara German, mereka akan menggunakan bahasa German sebagai bahasa rasmi. Begitu juga dengan bandar-bandar lain yang bersempadan dengan Perancis atau Itali.

Tiga bahasa utama Switzerland-Perancis, German, dan Itali

Secara umumnya, rakyat Switzerland (terutamanya pekedai, pekerja hotel, pekerja sektor perkhidmatan seperti pemandu bas dan teksi) mereka agak mahir berbahasa inggeris. Paling tidak, boleh berkomunikasi asas dalam bahasa inggeris. Itu sudah cukup bagus bagi kita pelancong untuk berada di Switzerland selama seminggu atau lebih. Pada pengalaman saya, penduduk di Canton (negeri) berbahasa German dan Itali lebih senang berbahasa Inggeris berbanding penduduk di Canton berbahasa Perancis seperti Geneva atau Vaud. Mereka tahu berbahasa Inggeris tetapi lebih senang berbahasa Perancis. Sila bawa 3 kamus--Perancis, German, dan Itali.

(3) Bila masa yang sesuai untuk melancong ke Switzerland?
Untuk menjawab soalan ini, soalan pertama adalah apa yang anda suka: Anda suka musim sejuk, suka salji dan suka main ski? Anda suka pemandangan hijau? Anda suka lihat tumbuhan kuning kemerahan dan daun-daun berguguran? atau anda suka berjalan hanya dengan memakai t-shirt, seluar pendek dan bergerak bebas? Yang mana?
Geneva pada musim luruh. Gambar ini adalah di belakang
bangunan WTO bersebelahan dengan Tasik Geneva
St. Moritz,salah sebuah resort ski yang  terkenal di dunia.
Suhu putara adalah di bawah paras beku

Jika anda suka salji dan ingin bermain ski, Switzerland memang amat sesuai untuk dilawati pada musim sejuk. Terdapat banyak banjaran dan tanah tinggi di Switzerland. Ski resort ada di mana-mana sahaja disebabkan kedudukan Switzerland adalah di tengah-tengah Banjaran Alps, Banjaran Jura dan gunung-ganang Swiss. Tapi untuk bercuti di Switzerland pada musim sejuk, anda perlu bersiap sedia untuk menghadapi keadaan cuaca sejuk yang kadang-kala agak ekstrem. Agak sukar untuk pastikan bahawa ramalan kaji cuaca 100% tepat. Suhu kadang-kadang boleh mencecah negatif. Bila suhu mencecah negatif, tempat yang paling menyeronokkan adalah di dalam bilik yang dipasang pemanas (heater). Kecuali anda seorang yang memang tahan sejuk. Tak tahu macamana boleh tahan kalau tangan, telinga, dan hidung kebas tidak terasa apa-apa. Bagi mereka yang sudah berkeluarga yang mempunyai anak yang masih kecil (bayi hingga 12 tahun), keadaan ini agak menyukarkan.

Kita andaikan anda ingin melancong ke Switzerland pada musim sejuk. Masa yang sesuai adalah pada bulan November hingga Januari.

(4) Saya dari Malaysia, bagaimana penerbangan yang sesuai ke Switzerland?
Bagi mereka yang ingin memulakan perjalanan ke Switzerland dari Malaysia, anda boleh menyemak dengan beberapa syarikat penerbangan (MAS, Etihad Airways, Turkish Airlines, KLM). Tiada penerbangan langsung untuk ke Switzerland dari Malaysia. Tidak seperti beberapa tahun dulu di mana terdapat penerbangan terus yang ditawarkan oleh MAS ke Zurich. Malangnya laluan ini telah ditutup beberapa tahun lepas oleh MAS. Beberapa syarikat lain seperti Etihad Airways juga menawarkan penerbangan ke Switzerland tetapi akan transit beberapa jam (3-6 jam) di Abu Dhabi atau/dan Geneva. Turkish Airlines juga menawarkan penerbangan ke Switzerland tetapi perlu transit beberapa jam di Istanbul, Turki. Saya cadangkan anda menggunakan www.wego.com.my untuk menyemak penerbangan ke Switzerland.
Syarikat penerbangan tambang murah Easyjet
Penerbangan masuk ke Switzerland biasanya akan melalui bandar-bandar seperti 1. Frankfurt (German); 2. London (UK); Paris (Perancis); Amsterdam (Netherlands); Vienna (Austria); atau Rom (Itali). Semakan boleh dibuat secara online dengan syarikat penerbangan terbabit. Biasanya inilah bandar-bandar utama untuk memasuki negara Switzerland melalui Zurich, Bern, Basel, atau Geneva. Untuk ke Zurich,Bern, Basel, atau Geneva beberapa perkhidmatan penerbangan tambang murah disediakan seperti Easyjet.
T.G.V. merentasi desa, ladang canola
Bagi yang ingin menggunakan perkhidmatan kereta api laju TGV (mengambil masa kira-kira 6 jam dari Paris ke Zurich), saya cadangkan penerbangan melalui Paris. Tiket kereta api boleh ditempah secara online. Terdapat banyak syarikat-syarikat yang menjual tiket secara online--pilih perkhidmatan kereta api yang diingini, dan bayar juga secara online. Salah satu syarikat yang menyediakan perkhidmatan tempahan tiket secara online adalah Swiss Federal Railways atau SBB CFF FFS.

(5) Ke mana saya hendak melawat di Switzerland?
Setiap mereka yang melancong atau mengembara mempunyai cita-rasa yang tersendiri. Oleh itu, cadangan tempat-tempat menarik di blog-blog atau laman-laman web adalah berdasarkan cadangan penulis-penulis blog dan laman web tersebut.
Kedudukan bandar-bandar tarikan pelancong

Saya menyenaraikan tempat-tempat menarik di sini adalah mengikut tempat-tempat menarik yang "common" oleh setiap laman web yang terbabit dan berdasarkan pemerhatian dari pengalaman saya yang pernah melawat tempat-tempat tersebut.

Sebelum saya senaraikan bandar-bandar yang mungkin menjadi destinasi anda di Switzerland, anda boleh lihat peta Switzerland di atas untuk memeberi gambaran mengenai kedudukan bandar-bandar destinasi pelancongan anda. To give you some ideas.

Utara Switzerland
Di bahagian utara Switzerland terdapat bandar-bandar besar seperti Zurich (bandar terbesar di Switzerland), Basel (bandar kedua terbesar di Switzerland), dan Baden.

Tengah Switzerland
Jika anda mengambil penerbangan atau menggunakan perkhidmatan kereta api dari Paris atau bandar-bandar lain di Eropah seperti London atau Amsterdam, anda boleh membuat penerbangan ke bandar-bandar tengah Switzerland seperti Bern atau Zurich. Dari Bern atau Zurich anda boleh meneruskan perjalanan sama ada ke bandar-bandar tengah Switzerland yang lain seperti Lucerne atau Interlaken.

Timur Switzerland
Terus ke sebelah timur Switzerland adalah bandar-bandar yang bersempadan dengan Itali seperti Davos dan St. Moritz (bandar yang terkenal dengan ski resort).

Selatan Switzerland
Perjalanan ke selatan akan membawa anda ke bandar-bandar seperti Lugano, Ascona, Locarno dan Zermatt yang bersempadan dengan Itali.

Barat Switzerland
Perjalanan ke sebelah barat pula akan membawa anda ke bandar-bandar di sekitar Tasik Geneva bersempadan dengan Perancis seperti Geneva, Morges, Lausanne, dan Montreux.


(6) Maklumat lain yang anda patut tahu

Memandu di Switzerland
Had laju bagi lebuhraya di Switzerland adalah 120km sejam dan biasanya 50km sejam bagi kawasan kampung. Lebuhraya di Switzerland tidak mempunyai tol. Walau bagaimanapun, kenderaan anda diwajibkan untuk mempunyai sticker "vignette" (seperti roadtax) bagi kenderaan yang anda sewa. Sekiranya kenderaan sewa telah mempunyai roadtax, tidak ada masalah.




10 Tempat Menarik di Switzerland?
Kita mulakan dengan bandar-bandar (tempat) pelancongan yang menarik di sekitar Bern atau Zurich dahulu dan kemudian ke barat dan sebelum akhirnya ke sebelah timur.

(1) ZURICH
Zurich adalah bandar terbesar di Switzerland. Sebuah bandar yang terkenal dengan "contemporary arts" dan "syurga" membeli-belah bagi mereka yang gemar membeli-belah. Kebanyakkan karya seni di Zurich dipamerkan di Muzium Kunsthaus dan Rietberg. Ini adalah antara 50 buah muzium yang terdapat di sekitar Zurich. Bagi anda yang ingin memiliki beberapa karya seni terkenal Zurich, anda bolehlah menyusuri jalan sepanjang Bahnhofstrasse and Niederdorf.

Bahnhofstrasse (Bahnhof Street) pada musim sejuk
Photo: 
www.zuerich.com
Bandar Zurich
Photo:www.myswitzerland.com

Bagi mereka yang gemar dengan aktiviti rekreasi, anda boleh menyusuri sepanjang tebing sungai dan tasik yang berada di tengah-tengah bandar Zurich. Bagi mereka yang gemar mendaki, Gunung Uetliberg adalah tempat yang menarik. Gunung Uetliberg berada pada 871 meter dari aras laut. Di kemuncak Uetliburg, anda boleh menikmati pemandangan bandar Zurich, tasik Zurich, dan Banjaran Alps yang menakjubkan!

Kemuncak Uetliburg dengan pemandangan Banjaran Alps 

Untuk ke Uetliburg, anda boleh mengambil perkhidmatan tram. Dari pusat bandar Zurich ke Uetliburg, masa yang diambil kira-kira 39 minit. Tram akan berhenti di hentian "Albisgutli" dan selepas itu mendaki dengan berjalan kaki.

(2) LUCERNE
Lucerne adalah sebuah bandar yang terletak di selatan Zurich dengan jarak kira-kira 50km, manakala jarak dari Bern pula adalah sejauh 110km. Perjalanan dari Zurich dengan kereta akan mengambil masa kira-kira 40 minit menggunakan lebuhraya A4 dan A14. Jika anda menggunakan perkhidmatan kereta api SBB CFF FFS, perjalanan akan mengambil masa kira-kira 50 minit.
Bandar Lucerne
Chapel Bridge adalah jambatan kayu yang tertua di Eropah
Chapel Bridge dibina pada tahun 1333

Lucerne adalah "a must visit place" bagi kawasan tengah Switzerland. Lucerne memiliki sebuah tasik yang sangat cantik yang menjadi nadi tarikan pelancong ke bandar ini. Merestasi tasik ini adalah sebuah jambatan kayu yang tertua di Eropah yang dipanggil "Chapel Bridge" atau "Kapellbrucke" dalam bahasa German (Lucerne menggunakan bahasa German). Apa yang unik tentang jambatan yang dibina pada tahun 1333 ini adalah lukisan yang terdapat di bahagian dalam jambatan ini--lukisan-lukisan abad ke-17. Lukisan-lukisan ini kebanyakannya telah musnah  di dalam kebakaran yang berlaku pada tahun 1993.Selain jambatan kayu ini, di tepi tasik juga terdapat banyak bangunan-bangunan bersejarah.

Di sekitar bandar Lucerne ini, terdapat banjaran-banjaran gunung yang sangat memukau mata iaitu gunung Rigi, Pilatus, dan Stanserhorn. Anda boleh menggunakan kereta kabel untuk naik ke puncak gunung-gunung ini. Dari sini, anda dapat menikmati pemandangan bandar Lucerne. Nasihat peribadi saya jika anda menghadapi kekangan masa dan bajet, tangguhkan dulu untuk menikmati tanah tinggi Switzerland. Simpan duit anda untuk ke Jungfrau (di Interlaken) kerana ia lebih berbaloi! Tidak jauh hanya 70km dari sini.


(3) INTERLAKEN
70km ke arah selatan Lucerne adalah Interlaken, sebuah "resort town" yang popular di Switzerland terutamanya bagi aktiviti-aktiviti musim sejuk seperti ski, snowboarding dan lain-lain.

Bagi mereka yang memandu dari Lucerne, perjalanan ini akan mengambil masa kira-kira 1 jam menggunakan lebuhraya A8. Bagi anda yang ingin menggunakan perkhidmatan kereta api, perjalanan akan mengambil masa kira-kira 1 jam 50 minit sehingga ke stesyen terakhir Interlaken Ost.
Interlaken
Interlaken
Di Interlaken tersergam indah Bernese Oberland (Bernese Highlands), tanah tertinggi di Canton Bern. Interlaken terletak di antara dua buah tasik iaitu Tasik Thun dan Tasik Brienz. Antara 3 kemuncak popular yang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia adalah Gunung Eiger, Monch, dan Jungfrau. Jungfrau adalah yang paling popular di antara ketiga-tiganya. Untuk ke kemuncak Jungfrau, perkhidmatan kereta api (Bernese Oberland Railway) disediakan dari Interlaken Ost ke Jungfaujoch. Untuk maklumat harga tiket, jadual operasi, jadual Bernese Oberland Raiway, anda boleh layari http://www.jungfrau.ch/en/tourism/. Jika anda mempunyai bajet yang mencukupi, jangan kedekut, beli tiket dan naik ke Jungfrau. Anda tidak akan jumpa lagi peluang seumpama ini di mana-mana.
Bernese Oberland Railway
Jungfraujoch "Top of Europe"

(4) ZERMATT
Jika anda masih belum rasa nak termuntah dengan salji, teruskan kembara anda ke Zermatt. Zermatt adalah sebuah bandar kecil dengan populasi 5,800 orang yang terletak di kaki gunung Matterhorn (dalam bahasa German), atau Monte Cervino dalam bahasa Itali, atau Mont Cervin dalam bahasa Perancis. Matterhorn adalah salah satu dari siri gunung di Banjaran Alps.

Bandar Zermatt dengan pemandangan Matterhorn
Zermatt mempunyai 5,800 orang penduduk
Rutin biasa Zermatt
Bagi anda yang teruja untuk bermain ski, snowboard, atau winter hiking, Zermatt (Matterhorn) adalah tempatnya kerana ia adalah kawasan ski yang tertinggi di Eropah. Salji di Matterhorn adalah selama 12 bulan atau 365 hari. Ambil gambar dengan papan ski anda dan katakan saya telah bermain ski di Matterhorn. Rakan-rakan anda hanya akan mampu berkata "Wow!!".

Jika anda ingin ke sini, jarak antara Interlaken Ost dan Zermatt adalah sejauh kira-kira 100km ke arah selatan hampir dengan sempadan German. Jika anda berkereta, anggaran perjalanan adalah 2 jam 30 minit. 40km ke arah Zermatt anda akan memasuki bandar kecil Kandersteg. Di situ kereta anda perlu menaiki kereta api menerusi terowong Lotscberg sepanjang 15km ke Ferden dan seterusnya menghabiskan perjalanan berbaki 50km ke Zermatt.

Kenderaan perlu menaiki kereta api melalui terowong Lotscberg
Bagi yang merancang untuk menaiki kereta api, kereta api pertama dari Interlaken Ost adalah pada jam 11.29 pagi. Cukup cantik sebab tidak perlu check-out terlalu awal dari hotel. Perjalanan dengan kereta api akan mengambil masa kira-kira 2 jam 15 minit.

(5) LUGANO
Lugano adalah bandar terbesar di daerah percutian Ticino. Sebuah bandar yang bersempadan dengan Itali, 80km dari bandar fesyen terkenal Milan. Di tengah-tengah Lugano terdapat Tasik Lugano, salah satu tarikan pelancong yang ke sini.

Rumah-rumah yang menghadap Tasik Lugano
Tasik Lugano

Bagi mereka yang gemar membeli-belah, di sini terdapat sebuah factory outlet digelar Foxtown yang menempatkan jenama-jenama terkenal seperti Armani, Bally, Burberry, Cerruti 1881, Dolce&Gabbana, Escada, Fendi, Gucci, Hugo Boss, Salvatore Ferragamo, dan banyak lagi. Foxtown dibuka 7 hari seminggu, 11 pagi - 7 malam.

Satu-satunya factory outlet di Switzerland

Bagaimana hendak ke sini? Jarak antara Zurich dan Lugano adalah sejauh 200km yang mengambil masa kira-kira 2 jam 30 minit dengan kereta. Perjalanan dengan kereta api dari stesyen kereta api Zurich memakan masa kira-kira 2 jam 40 minit.


(6) ST MORITZ
Dari Lugano anda boleh terus ke St Moritz, sebuah resort percutian berprestij dan antara yang termahal di dunia. St Moritz pernah menjadi hos bagi sukan olimpik musim sejuk sebanyak dua kali--1928 dan 1948. Apa yang boleh anda buat di sini? Nikmati percutian musim sejuk Alpine (Alpine winter holidays). Pagi tengok salji, tengahari main ski dan petang juga main ski. Esok pun begitu juga. That's Alpine winter holidays!

St Moritz
St Moritz
Sungai yang sejuk membeku
Terdapat 2 laluan utama perjalanan melalui lebuhraya dari Lugano ke St Moritz. Pertama, laluan singkat sejauh 120km yang perlu memasuki negara Itali dan kemudian memasuki semula sempadan Switzerland. Kedua, laluan sejauh 180km tanpa perlu memasuki sempadan Itali. Perjalanan dengan kereta api dari Lugano hingga ke St Moritz akan memakan masa selama 4 jam. Kereta api dari Lugano akan berakhir di bandar Bellinzona sebelum mengunakan perkhidmatan bas sehingga ke Thusis untuk kereta api seterusnya ke St. Moritz.

Dari segi pengalaman saya, saya tidak bermalam di St. Moritz tetapi masih di Lugano. Saya hanya menghabiskan masa kira-kira 3 jam di St Moritz. 3 jam sudah boleh berjalan mengelilingi St. Moritz, pergi ke tasik yang sejuk membeku, ambil gambar di tempat-tempat menarik, dan ke tempat orang bermain ski. Itu sudah cukup.

Laluan "Route 31"
Menyusuri lorong-lorong salji di St Moritz

(7) DAVOS
Davos (sebutan da-vo) adalah salah sebuah lagi resort musim sejuk yang terkenal di Switzerland. Davos berada pada ketinggian 1560 meter dari aras laut. Ketinggian ini menjadikan Davos sebagai bandar yang tertinggi di atas Banjaran Alps. Mengalir di tengah bandar Davos adalah sungai Landwasser, sungai yang mengalir turun dari banjaran Alps.

Davos
Aktiviti ski di Davos. Di sebelah kanan adalah Sg. Landwasser
Cerun ski di Davos

Davos adalah hos bagi acara tahunan World Economic Forum, acara yang dihadiri oleh tokoh-tokoh korporat terkemuka dunia serta pemimpin ekonomi dari pelbagai negara.Seperti bandar-bandar resort ski yang lain, Davos juga terkenal dengan ski resort yang tersendiri.

Jarak Davos dan St Moritz adalah kira-kira 80km melalui leburaya A3. Perjalanan dengan kereta api akan mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit bermula dari stesyen St Moritz hingga hentian yang terakhir Davos Platz. Sepanjang pejalanan, nikmatilah alam ciptaan tuhan. There will be no regret!

Permandangan sepanjang lebuhraya A3

(8) MONTREUX
Davos adalah destinasi terakhir daerah timur Switzerland. Sekarang bagaimana? Pulang semula ke Zurich? atau teruskan pengembaraan ke barat daya Switzerland ke arah daerah-daerah Tasik Geneva--Montreux, Lausanne, dan Geneva. Dari segi penginapan adalah lebih mudah kerana ketiga-tiga bandar ini adalah berdekatan.

Kita andaikan anda ingin terus ke barat daya Switzerland. Perjalanan terus yang agak jauh kira-kira 350km dari Davos. Jauh? mungkin hanya jarak KL ke Taiping sahaja. 

Selepas Davos, destinasi seterusnya adalah Montreux (disebut mong-tro). Pernah dengar "Montreux Jazz Festizal"? Di sinilah tempat berlangsungnya festival tersebut. Bagaimana dengan lagu "Smoke on the Water" oleh Deep Purple? Kisahnya apabila seorang pengunjung konsert di Montreux secara tidak sengaja menyebabkan kebakaran di sebuah kasino di situ menyebabkan asap menyelubungi permukaan Tasik Geneva.

Montreux terletak di tepi Tasik Geneva di dalam Canton Vaud iaitu canton yang menggunakan bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi dan bahasa pertuturan harian. Ia terletak di kaki Banjaran Alps.

Montreux
Ladang anggur dengan pemandangan Tasik Geneva dan Alps

Montreux di kelilingi ladang anggur (vineyard) yang menjadi sumber pendapatan penduduk selain dari sektor pelancongan. Lebih menakjubkan apabila jika anda berada di Montreux, ada dapat menikmati pemandangan Alps yang putih dilitupi salji beserta pemandangan Tasik Geneva yang damai.

Banyak aktiviti yang boleh anda lakukan di sini. Anda boleh melawat Istana Chillon atau Chateau de Chillon dalam bahasa Perancis. Chateau de Chillon adalah sebuah istana pulau  ("pulau" disebabkan ia berada di atas Tasik Geneva). Istana ini pada asalnya adalah sebuah pos pemerhati bagi laluan Banjaran Alps pada tahun 1005. Ia telah ditambah (renovate) dari tahun ke tahun sehingga 1248, seperti yang anda dapat lihat sekarang.

Chateau de Chillon

Christmas market adalah antara yang popular di sini, yang dibuka beberapa minggu sebelum perayaan Christmas. Kalau anda hendak samakan dengan "uptown" di Malaysia boleh juga.

Christmas market

Enjoy Montreux!

(9) LAUSANNE
Destinasi seterusnya selepas Montreux adalah Laussane, sebuah bandar berdekatan dengan hanya 28km dari Montreux. Laussane adalah bandar ke-2 terbesar di sekitar Tasik Geneva (ke-4 terbesar di Switzerland) yang juga terletak di dalam Canton Vaud.

Lausanne dengan pemandangan Alps

Selain pemandangan yang cantik, Laussane juga menempatkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (International Olympic Committee), Mahkamah Timbangtara Sukan (Court of Arbitration for Sport), and 50 pertubuhan sukan antarabangsa yang lain.

Ibu pejabat syarikat multinasional Nestle juga berada di Laussane. Selain itu, beberapa syarikat jenama terkenal juga berada di sini seperti Logitech (sekarang faham kenapa mouse Logitech mahal), CISCO, Phillip Morris, British American Tobacco, dan banyak lagi.

Olympic

(10) GENEVA
 Geneva terletak 60km ke arah selatan Lausanne, bandar yang akan menjadi destinasi terakhir anda di Switzerland. Geneva adalah sebuah bandar antarabangsa (international city) yang menjadi nadi kepada pembangunan Canton ini dan juga nadi pembangunan Switzerland sebagai sebuah pusat kewangan dunia.

Geneva menempatkan kira-kira 35 badan antarabangsa seperti ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Eropah, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Palang Merah, Bulan Sabit Merah, International Telecomminication Union, dan banyak lagi. Ini menjadikan Geneva sebagai bandar yang paling banyak menempatkan badan-badan antarabangsa di dunia. Selain itu, Geneva juga menempatkan lebih 250 NGO-NGO antarabangsa seperti Human Rights Watch, Amnesty International dan lain-lain.

Mungkin saya ingin berkongsi sedikit. Bilangan rakyat Malaysia yang berkhidmat di pejabat perwakilan/kedutaan di Switzerland adalah yang terbesar antara pejabat-pejabat kedutaan Malaysia lain di dunia. Terdapat tiga pejabat perwakilan (kedutaan) iaitu: (1) kedutaan Malaysia ke Switzerland di Bern, (2) Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB, Geneva; dan (3) Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Geneva. Pejabat Perwakilan Tetap no. 2 dan no.3 terletak di International Centre Cointrin, Geneva (dua pejabat yang berasingan tetapi di dalam bangunan yang sama). Hanya kurang 10 minit dengan berjalan kaki dari Geneva International Airport.

Berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris tidak menjadi masalah di Geneva kerana kira-kira 40% daripada mereka yang tinggal di Geneva adalah rakyat asing ekspatriat atau diplomat yang bertugas di badan-badan antarabangsa.

Ibu pejabat PBB bagi Eropah
Jam bunga (flower clock), jam kedua terbesar di dunia selepas Tehran
Geneva dengan jet d-eau

Cadangan saya:

Penginapan
Memandangkan Geneva adalah destinasi terakhir anda, saya mencadangkan anda meneroka bandar ini dengan sepenuhnya. Cadangan saya supaya anda jadikan Geneva sebagai "base" (tempat menginap) untuk meneroka bandar-bandar atau tempat-tempat menarik di sekeliling Tasik Geneva termasuk Montreux, dan Lausanne. Penerokaan anda akan menjadi pengalaman yang unik.

Sewa kereta
Untuk penerokaan di luar bandar (outskirts) Geneva, anda perlu menyewa kereta sahaja. Ia lebih menjimatkan masa berbanding mengambil kenderaan awam seperti kereta api. Sewa selama sehari. Sewa kereta di Geneva sangat mudah kerena banyak syarikat menyediakan perkhidmatan sewa kereta seperti EurocarRentalcars, dan Hertz. Kadar sewa dalam lingkungan CHF100-150 jika sebuah kereta compact seperti VW Polo, Toyota Echo, Hyundai Getz, atau Honda Jazz.

Teroka Geneva dan bandar Swiss berdekatan
Anda mulakan penerokaan anda di sekitar bandar Geneva terlebih dahulu. Antara tempat-tempat-tempat yang menarik di sekitar Geneva adalah:

- Kerusi patah (Broken Chair) bagi memperingati mangsa-mangsa periuk api. Ia terletak di hadapan ibu pejabat PBB.

- Guided visit ke dalam kawasan PBB di mana anda akan dibawa melawat sekitar PBB termasuk dewan persidangan PBB di mana diplomat bertemu untuk berunding masalah sejagat.

- Anda juga boleh menyusuri tepi Tasik Geneva yang terdiri dari taman-taman awam. Anda boleh
berjalan kaki di tepi tasik sehingga ke bandar lama (old town) Geneva. Berjalan dan nikmati udara segar Tasik Geneva, berhenti dan nikmati pemandangan air pancut (jet d-eau) antara yang tertinggi di dunia (140 meter ke udara).

Nikmati pemandangan ketika menyusuri Tasik Geneva
-Jam bunga (flower clock) yang terletak di tepi Tasik Geneva di sebelah bandar lama. Ia adalah jam mekanikal yang terbesar di dunia sebelum dihahului oleh Tehran, Iran pada tahun 2005.

"Kerusi patah" simbol memperingati 
mangsa-mangsa periuk api. Foto: www.myswitzerland.com


- Bagi mereka yang ingin membeli belah, anda boleh ke shopping walk Bel Air di bandar lama, yang menempatkan butik-butik jenama terkemuka dunia seperti Gucci, Louis Vuitton, Tod's, Tommy Hilfiger, dan lain-lain. Bagi mereka yang meminati jam, Geneva adalah tempat yang terbaik untuk ada memiliki jam idaman anda--Rolex, Piaget, Patek Phillipe, Franck Muller, Swatch, Bucherer, atau Gallopin semua ada di sini.Tempat-tempat lain yang menarik di bandar lama adalah Muzium Barbier-Mueller, Gereja St.Pierre, "International Museum of the Reformation" dan "the Arts and History Museum".

- boat cruise di atas Tasik Geneva selama sejam. Nikmati bandar Geneva dari sudut pandangan yang berbeza.
Setelah anda meneroka bandar Geneva, sewa kereta dan pandulah mengelilingi Tasik Geneva. Tasik Geneva mempunyai keluasan kira-kira 345km persegi dan jarak tasik dari hujung ke hujung adalah kira-kira 40km (hujung Geneva - Montreux). Bermula dari bandar lama Geneva anda akan memasuki sempadan Perancis sebelum memasuki semula Switzerland. Berhentilah di bandar-bandar kecil sepenjang perjalanan seperti Yvoire, Evian-les-Bains--jangan lupa bila tiba di Evian untuk mencari punca mata mineral air Evian yang d Malaysia berharga RM8 sebotol kecil. Minumlah air mineral Evian sepuas hati anda di situ secara percuma!


Peta Tasik Geneva
Montreux dengan pemandangan lebuhraya di banjaran Alps
Di hujung tasik anda akan bertemu bandar Montreux. Berhenti di taman awan di situ dan nikmati pemandangan banjaran Alps dengan laluan lebuhraya di lereng gunung. Pemandangan yang melegakan. Selepas itu anda boleh meneruskan perjalanan ke Laussane dan Morges sebelum kembali semula ke Geneva. Memandu mengelilingi Tasik Geneva akan mengambil masa kira-kira 3 jam.

Oh ya, dalam perjalan pulang ke Geneva anda akan melalui pekan kecil Nyon di Canton Vaud. Dari situ anda boleh ke St. Cergue, tanah tinggi Switzerland di banjaran Jura. Nikmatilah pemandangan cantik Tasik Geneva dari atas Banjaran Jura!
Mendaki St Cergue dengan kereta
Salah satu cerun ski di St Cergue

Teroka Jura, bandar jiran Perancis
Saya percaya laman-laman blog traveller tidak akan mencadangkan anda meneroka bandar jiran di negara lain. Semua sebab komersial "dollars and cents". Tapi saya cadangkan di sini. Memandangkan anda telah menyewa kereta, manafaatkan ia sepenuhnya kan.

Saya cadangkan anda memandu mendaki banjaran Jura ke arah "Jura Mountains Natural Regional Park". Untuk ke sana anda perlu memandu merentas sempadan perancis ke bandar jiran Ferney terlebih dahulu. Jarak Geneva dan Ferney hanya 18 km sahaja dan selepas itu anda perlu mendaki sejauh 12 km lagi ke natural park. Di situ terdapat ski resort dan tempat bermain cerun. Untuk bermain cerun, ia adalah percuma.
Memandu mendaki banjaran Jura
Terdapat banyak tempat bermain ski di Jura
Salah satu ski resort di Jura

Selesai sudah mengenai tempat-tempat menarik di Switzerland (serta Jura, Perancis). Seterusnya? Setelah selesai anda membuat keputusan mengenai destinasi-destinasi pengembaraan anda di Switzerland, tempahlah hotel mengikut kesesuaian bajet, bilangan ahli keluarga, dan lokasi.

(6) Tempahan hotel
Tempahan hotel amat mudah. Saya cadangkan anda mencari (survey) hotel menggunakan carian http://www.booking.comMudah dan menjimatkan masa. 

Laman web tempahan hotel Booking.com

Saya telah menggunakan laman web ini selama 8 tahun dan tiada apa-apa masalah terutamanya dari segi keselamatan pembayaran menggunakan kad kredit. 100% selamat. Melalui booking.com anda boleh mencari hotel mengikut kesesuaian bajet anda dan jarak hotel dari pusat bandar serta kemudahan lain di hotel-hotel tersebut seperti wifi, kolam renang, gym, dan lain-lain. Antara kelebihan lain adalah kad kredit hanya untuk tempahan, anda boleh batalkan tempahan sehari (24 jam) sebelum anda menginap tanpa dikenakan apa-apa bayaran (cancellation charge). Ketika check-in, anda boleh memilih samada bayaran secara tunai atau menggunakan kad kredit. Mudah dan selamat bukan?

Satu maklumat penting mengenai penginapan di hotel-hotel di negara Eropah adalah tempahan saiz bilik biasanya akan mengikut bilangan ahli keluarga. Bilik deluxe biasanya untuk 1-2 orang (seorang anak kecil dibenarkan). Jika ahli keluarga melebihi 3 orang, dinasihatkan anda menempah bilik saiz keluarga (family room). Hotel mungkin tidak akan benarkan jika ahli keluarga seramai 4-5 tetapi menempah bilik bersaiz deluxe. Mungkin juga dibenarkan tetapi dengan bayaran tambahan "per head". Tidak seperti Malaysia kan? siap boleh bawa toto lagi, ahli-ahli keluarga tambahan boleh "diseludup masuk".

Ya satu lagi, berhati-hati agar anda tidak mengotor atau merosakkan barangan hotel di Switzerland. Rakan saya pernah di kenakan bayaran CHF200 (RM900) hanya kerana cecair pengilap kasut menitik di atas karpet bilik hotel! pelik tapi benar. Alasannya untuk perkhidmatan mencuci. Mungkin juga benar kerana kos buruh di Switzerland sangat mahal.

(7) Pengangkutan
Switzerland mempunyai rangkaian sistem pengangkutan yang baik terutamanya lebuhraya dan kereta api. Oleh itu, untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain agak tidak membebankan. Switzerland ada menawarkan "Swiss Travel Pass" yang membolehkan anda menggunakan semua rangkaian sistem pengangkutan di Switzerland--kereta api, tram, bas, dan bot dengan hanya satu pass sahaja. Ini membolehkan anda mengembara di seluruh pelusuk Switzerland dengan mudah. Dengan  "Swiss Travel Pass" ini juga anda akan menikmati pass masuk percuma ke 450 buah muzium di seluruh Switzerland. Anda boleh membeli pass ini secara online di http://www.swiss-pass.ch/swiss-pass/.

Ketika kami menggunakan perkhidmatan keretapi
dari Geneva - Gstaad - Geneva
enjoy pemandangan di switzerland guys !!





Selamat mengembara ke Switzerland!

p/s: Jika anda mempunyai apa-apa pertanyaan, boleh tinggalkan komen. Saya akan menjawab seberapa segera.

No comments:

Post a Comment

JUS MUNIRA MINUMAN BUAH BUAHAN

Jus Munira iaitu jus buah buahan keluaran terbaru syarikat bumiputera yang kini menjadi rebutan rakyat Malaysia. Jus ini didatangi dengan...